1.0 Pendahuluan
Bahasa
Melayu ialah sejenis bahasa
Melayu-Polinesia di
bawah keluarga bahasa Austronesia yang telah digunakan di wilayah Malaysia,
Indonesia,
dan persekitarannya sejak melebihi 1,000 tahun lalu dan penutur asli Bahasa
Melayu merupakan orang melayu. Asal usul
bangsa Melayu sehingga kini masih kabur tetapi beberapa sarjana Eropah seperti
Hendrik Kern (Belanda) dan Robert von Heine Geldern (Austria) telah melakukan
penyelidikan secara kasar tentang latar belakang dan pergerakan masyarakat
Melayu kuno.
Teori mereka mengatakan
bahawa bangsa Melayu berasal daripada kelompok Austronesia, iaitu kelompok
manusia yang berasal dari daerah Yunan di China yang kemudiannya berhijrah
dalam bentuk beberapa gelombang pergerakan manusia dan akhirnya menduduki
wilayah Asia Tenggara. Gelombang penghijrahan yang pertama dikenali sebagai Melayu-Proto
dan berlaku kira-kira 2500 tahun Sebelum Masehi. Melayu-Proto ini merupakan
orang asli di Malaysia yang terdiri daripada beberapa suku kaum seperti Jakun,
Semelai, Temuan dan sebagainya.
Kira-kira tahun 1500 tahun
Sebelum Masehi, datang pula gelombang kedua yang dikenali sebagai Melayu-Deutro.
Mereka mendiami daerah-daerah yang subur di pinggir pantai dan tanah lembah
Asia Tenggara. Oleh itu, golongan Melayu-Deutro mempunyai kemahiran belayar.
Kehadiran
mereka ini menyebabkan orang-orang Melayu-Proto seperti orang-orang Jakun, Mahmeri,
Jahut, Temuan, Biduanda dan beberapa kelompok kecil yang lain berpindah ke
kawasan hutan dan pedalaman. Golongan Melayu-Deutro ini dikatakan nenek moyang
masyarakat Melayu yang ada pada masa kini.
Kedatangan agama Hindu, Islam dan penjajah Eropah
ke Asia Tenggara telah menyebabkan perbezaan yang
ketara berlaku antara bahasa Melayu Kuno, bahasa Melayu Klasik dan Bahasa
Melayu Moden dan sekaligus menyumbang kepada perkembangan Bahasa Melayu. Ahli
bahasa membahagikan perkembangan bahasa Melayu kepada tiga tahap utama iaitu
Bhasa Melayu Kuno, Bahasa Melayu Klasik dan Bahasa Melayu Moden. Setiap tahap
bahasa ini juga mempunyai sifatnya yang tersendiri.
Tahap perkembangan yang
pertama dikenali sebagai Bahasa Melayu Kuno yang mencapai kegemilangannya dari
abad ke-7 hingga abad ke-13 pada zaman kerajaan Sriwijaya sebagai lingua franca dan
bahasa pentadbiran. Bahasa Melayu pada tahap ini mempunyai pengaruh Sanskrit
dan Hindu yang kuat. Ini adalah kerana kebanyakan masyarakat Melayu ketika itu
beragama Hindu dan Bahasa Sanskrit telah menjadi bahasa bangsawan dan mempunyai
hierarki yang tinggi. Selain itu, sifat bahasa Melayu yang mudah dilentur
mengikut keadaan juga antara penyebab bahasa asing seperti sanskrit
diterima.Pengaruh aksara Pallava dan Devanagari,
kata-kata pinjaman daripada bahasa Sanskrit, rangkai-rangkai kata pinjaman
daripada bahasa Sanskrit, dan fonem-fonem Sanskrit dapat dikesan pada Bahasa
Melayu Kuno.
Fasa peralihan Bahasa
Melayu Kuno kepada Bahasa Melayu Klasik berlaku pada abad ke-13 yang dikaitkan
dengan kedatangan Islam dari Tanah Arab ke Asia Tenggara. Zaman kegemilangan
Bahasa Melayu Klasik bermula apabila pemimpin kerajaan kerajaan Melayu pada
waktu itu memeluk Islam dan mempelajari
bahasa Arab daripada pedagang Islam daripada Arab dan India. Ini menyebabkan
Bahasa Melayu dipengaruhi dan berlaku penyerapan unsur unsur Arab dan Parsi
dalam bahasa Melayu.
Bermula abad ke-19, Asia Tenggara telah mengalami
penjajahan bangsa Eropah seperti
Portugis, Belanda dan Inggeris. Sebelum
penjajahan British, bahasa Melayu
mencapai kedudukan yang tinggi, berfungsi sebagai bahasa perantaraan,
pentadbiran, kesusasteraan, dan bahasa pengantar di pusat pendidikan Islam. Selepas Perang Dunia Kedua, British
merubah dasar menjadikan bahasa Inggeris sebagai pengantar dalam sistem
pendidikan. Bahasa Melayu Moden ini banyak dipengaruhi oleh penjajah Barat
terutama sekali Inggeris. Permulaan fasa ini dianggap berasal dari hasil
karangan Munsyi Abdullah. Semasa Malaysia
mencapai kemerdekaan,
Perlembagaan Persekutuan
Perkara 152 menetapkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Selain itu,
Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967 menetapkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi
negara. Laporan Razak 1956 mencadangkan bahasa Melayu
sebagai pengantar dalam sistem pendidikan negara. Akta-akta inilah yang
memelihara kedudukan Bahasa Melayu
hingga sekarang.
Bahasa Melayu yang kita pelajari
hari ini telah mengalami pelbagai perubahan yang drastik sepanjang zaman
perkembangannya. Akibat daripada perkembangan sistem Bahasa Melayu , terdapat
beberapa bidang yang diwujudkan bagi menambah baikkan lagi sistem Bahasa
Melayu seperti bidang Morfologi .
2.0
Konsep Morfologi
2.1 Pengenalan
Dalam pengajian Pengantar Bahasa
Melayu, terdapat bidang yang penting yang perlu pelajar pelajari untuk
menguasai Bahasa Melayu iaitu bidang Morfologi. Definisi Morfologi mengikut Kamus
Dewan edisi ketiga menjelaskan pengertian morfologi sebagai kajian tentang
pembentukan kata dalam sesuatu bahasa, termasuk infleksi, terbitan, dan
pemajmukan. Morfologi juga dikaitkan dengan kajian tentang struktur dan bentuk
sesuatu.
Berdasarkan
takrif, kajian morfologi tertumpu kepada kata. Kata terbentuk daripada unsur
yang dikenali sebagai morfem. Morfem ialah unit yang terkecil dalam bahasa yang
berfungsi gramatis atau yang menjalankan tugas nahu, serta tidak dapat
dipecah-pecahkan lagi. Ada dua jenis morfem, iaitu morfem bebas serta morfem
terikat. Morfem bebas ialah morfem atau kata yang dapat berdiri sendiri sebagai
satu kata yang utuh dan bermakna serta tidak dapat dipecahkan kepada unit yang
lebih kecil lagi. Morfem terikat sebaliknya kerana bersifat tidak sempurna
sekiranya tidak digandingkan dengan morfem bebas. Sesuatu perkataan dibentuk
daripada satu morfem atau lebih.
2.2 Konsep Morfologi berdasarkan maklumat
daripada pelbagai sumber
Menurut
Abdullah Hassan (2006) morfologi merupakan satu bidang ilmu yang mengkaji
bentuk perkataan. Istilah ini dipinjam daripada biologi yang bermaksud kajian tentang
bentuk tubuh haiwan dan tumbuhan. Konsep bentuk ini diterapkankepada bentuk
perkataan bahasa manusia.
Nik Safiah Karim (1996) pula
mentakrifkan morfologi sebagai satu bidang ilmu yang mengkaji bentuk perkataan,
struktur kata dan penggolongan kata. Dengan struktur kata dimaksudkan susunan
bentuk bunyi ujaran atau lambang (tulisan) yang menjadi unit tatabahasa yang
bermakna. Bentuk kata pula ialah rupa unit tatabahasa,sama ada bentuk tunggal
atau hasil daripada proses pengimbuhan,pemajmukan dan penggandaan. Penggolongan
kata ialah proses menjeniskan perkataan
berdasarkan keserupaan bentuk dan fungsi dengan anggota lain dalam
kumpulan yang sama. Dalam perkataan lain, morfologi bahasa Melayu bermaksud
bidang yang mengkaji struktur, bentuk dan penggolongan kata dalam bahasa
Melayu.
Raminah
Hj. Sabran dan Rahim Syam (1985) menginterpretasikan konsep morfologi sebagai satu bidang dalam kajian bahasa yang mengkaji
tentang perkataan dan cara-cara pembentukkannya. Unit-unit tatabahasa yang menjadi unsur perkataan disebut
morfem. Morfem ialah unit yang terkecil dalam bahasa yang berfungsi gramatis
atau yang menjalankan tugas nahu. Perkataan ialah bentuk bahasa yang
terkecil juga tetapi mengandungi makna yang lengkap dan dapat berdiri
sendiri.
Manakala Siti Hajar Hj.Husin Abdul Aziz, dalam bukunya Tatabahasa Bahasa Melayu ( Perkataan ), 1996
: 17 telah menyatakan teori
morfologi iaitu morfologi satu cabang daripada ilmu
linguistik yang mengkaji soal – soal yang berkaitan dengan kemungkinan
adanya perubahan kata, golongan kata, dan makna kata akibat daripada perubahan
bentuk kata. Morfologi mengkaji selok –belok bentuk kata dan fungsi gramatik
atau semantik perubahan kata itu.Beliau juga telah merumuskan bahawa
morfologi adalah bidang mengkaji bagaimana morfem – morfem itu bergabung
untuk membentuk ayat.
Menurut Kamarudin Hj.Husin dan Siti Hajar Hj. Abdul
Aziz.; Arb'ie Sujuddalam buku Pengajian Melayu 1, Ilmu Bahasa dan Kecekapan Berbahasa,1997 : 83, kumpulan budiman berpendapat morfologi ialah
disiplin ilmu bahasa yang mengkaji struktur, bentuk dan penggolongan
kata.Bentuk kata ini merujuk bentuk bunyi atau ujaran sesuatu kata itu.
Selain itu, ahli bahasa juga iaitu Leonard Bloomfield dalam
bukunya Language yang
telah diterjemahkan oleh Alias
Mahpol, Kamaruzaman Mahayiddin dan Noor Ein Mohd.Noor,menyatakan
bahawa “Morfologi adalah konstruksi yang mengandungi bentuk – bentuk
terikat antara konsituen – konsituennya.”“Morfologi meliputi konstruksi kata –
kata dan bahagian kata”.
Seterusnya,
Frank Parker dalam bukunya, Linguistics For Non-Linguists, First
Edition yang diterjemah oleh Raja Rahawani Raja Mamat, berpendapat
bahawa morfologi merupakan suatu bidang pengkajian yang mengkaji pembentukan
kata. Beliau menyatakan “morphology” itu berasal daripada bahasa Latin “morphe”
yang membawa maksud bentuk. Abdullah Hassan dalam buku: 117). Dapatlah
disimpulkan di sini bahawa ilmu morfologi ini merupakan salah satu bidang linguistik.
Linguistik Am Siri Pengajaran dan Pembelajaran
Bahasa Melayu (Abdullah Hassan, 2007) pula mentakrifkan morfologi sebagai
bidang linguistik yang mengkaji bagaimana perkataan dibina, iaitu kajian ini
dilakukan terhadap unsur-unsur yang membentuk perkataan, proses-proses
membentuk perkataan dan bentuk-bentuk perkataan yang dihasilkan yang mengkaji
struktur binaan kata, bentuk kata dan golongan kata. Dalam bidang ini, morfem
dan kata ialah unsur utama yang dikaji dalam proses pembentukan kata.
Morfologi menurut buku
Tatabahasa Dewan (2004) ialah bidang ilmu bahasa yang mengkaji struktur, bentuk
dan penggolongan kata. Dengan struktur kata dimaksudkan susunan bentuk bunyi
ujaran atau lambang (tulisan) yang menjadi unit bahasa yang bermakna. Bentuk
kata pula ialah rupa unit tatabahasa (morfem), sama ada berbentuk tunggal atau
hasil daripada proses pengimbuhan, pemajmukan dan penggandaan. Penggolongan
kata ialah proses menjeniskan perkataan berdasarkan keserupaan bentuk dan/atau
fungsi dengan anggota lain dalam golongan yang sama.
Kesimpulannya,konsep morfologi menurut secara
ringkasnya ialah kajian tentang proses
pembentukan kata yang akan melalui proses penyusunan morfem atau unit-unit
tatabahasa yang menjadi unsur perkataan dari segi struktur, bentuk dan
penggolongan kata sebagai prosesnya.
2.3 Kesimpulan
Morfologi mempunyai sistem dan peraturannya yang
tersendiri serta unik dalam penstrukturan ayat berasaskan proses pembentukan
kata iatu pengimbuhan, pemajmukan, penggandaan dan pengakroniman serta proses
penggolongan kata yang terdiri daripada kata nama, kata kerja, kata adjektif
dan kata tugas. Kesemua aspek ini memainkan peranan yang penting dalam
pembentukan ayat yang gramatis. Selain dapat memastikan penggunaan bahasa yang
lebih berkesan dan cekap, bidang morfologi ini merupakan tunjang utama dalam kajian
linguistik.

0 comments:
Post a Comment