1.0 Pengenalan
Guru bermaksud
pengajar, pendidik atau pengasuh. Seorang guru ialah merupakan pembimbing dalam
proses pembelajaran. Menurut Mok Soon Sang (1991) pula, guru merupakan seorang
ahli masyarakat yang mempunyai perhubungan sosial yang saling berkait rapat
dengan masyarakat berstatus. Guru merupakan tenaga ikhtisas di dalam bidang
perguruan yang dipertanggungjawab untuk mendidik pelajar di sekolah. Guru juga
sebagai anggota masyarakat, harus pandai bergaul dengan masyarakat.
Peranan dan
tanggungjawab guru sememangnya memberi impak yang besar dan mendalam dalam diri
setiap individu itu. Dari kecil hinggalah menjawat jawatan yang hebat, semua
itu adalah hasil ajaran dan didikan guru di sekolah, pun begitu, dunia hari ini
semakin maju dan bergerak pantas seiring dengan era ledakan maklumat ini, guru
tidak terkecuali merasai tempiasnya. Peranan dan tanggungjawab yang digalas
oleh guru semakin mencabar. Oleh itu pentingnya guru mempunyai super karakter
seperti yang diketengahkan dalam ucapan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia
sempena Hari Guru pada tahun 2013. Antara ciri guru super karakter yang
diketengahkan ialah guru yang sayang kepada muridnya, berani mengambil risiko,
bertanggungjawab, berdedikasi dan penuh dengan komitmennya dalam melaksanakan
tugasnya sebagai pendidik.
Jika diamati ciri
guru super karakter tersebut, kita akan dapati terdapatnya persamaan ataupun
kaitan dengan ciri-ciri guru bimbingan dan kaunseling yang merupakan guru yang
dilantik sebagai guru bimbingan dan kaunseling di sekolah yang bertanggungjawab
menjalankan aktiviti-aktiviti kaunseling. Guru bimbingan dan kaunseling
merupakan penjana peribadi ke arah melahirkan generasi remaja yang berkualiti
seiring dengan hasrat negara untuk melahirkan generasi berpersonaliti yang
menjadi fokus utama agenda pembangunan masyarakat dewasa ini.
2.0 Ciri-ciri seorang guru bimbingan dan
kaunseling yang mencapai tahap “guru super karakter” .
Guru bimbingan dan kaunseling di
sekolah memiliki ciri - ciri umum seperti yang digariskan oleh The Association
of Counselor Education and pada tahun 1964, telah mengenal pasti bahawa guru
bimbingan dan kaunseling perlulah mempunyai enam kualiti asas iaitu kepercayaan
kepada setiap individu, komitmen kepada nilai kemanusiaan, memahami diri
sendiri, sikap terbuka dan taat setia kepada professional. Kuliti-kualiti asas
ini sedikit sebanyak menggambarkan ciri
guru super karakter.
Ciri pertama guru super karakter merupakan guru yang
sayang akan muridnya. Dalam kehidupan di persekitaran sekolah, guru merupakan
ibu bapa bagi murid yang menjaga dan menyayangi anaknya. Penyayang membawa
maksud perbuatan atau
perlakuan menyayangi, mengasihi,
dan bersifat belas
kasihan serta menghormati
orang lain. Ini
bermakna guru penyayang adalah seorang yang memiliki sifat kepedulian
(concern) terhadap setiap perkara yang berkaitan dengan
muridnya (every child matters) dengan cara
mengamalkan nilai kasih sayang, bersikap mesra, mengambil berat, berbudi bahasa, saling
menghormati, sentiasa ceria, prihatin dan sabar. Guru penyayang menjiwai bahawa
murid mereka merupakan aset penting yang
perlu diberi perhatian, dijaga, dibimbing, dihargai kewujudannya
dan disayangi setiap masa.
Membudayakan amalan penyayang
merupakan sifat profesional guru
dalam perhubungannya dengan murid, ibu bapa, komuniti dan masyarakat. Begitu
juga dengan guru bimbingan dan kaunseling, yang merupakan guru yang mesra dan mengambil
berat. Malah komponen ini merupakan komponen yang paling penting sebagai guru
bimbingan.
Sifat mesra seorang guru bimbingan dan kaunseling membolehkan
klien tidak malu untuk bersuara, berasa selesa dan rasa diterima oleh guru
bimbingan dan kaunseling. Sifat mesra yang ditunjukkan oleh guru bimbingan dan
kaunseling memudahkan klien untuk meluahkan masalah yang dihadapi oleh klien. Selain
itu, kasih sayang juga dapat dikaitkan dengan perasaan mengambil berat dan
sifat ini saling berkait dengan sifat empati yang dimiliki oleh guru bimbingan
dan kaunseling. Empati dalam bidang bimbingan dan kaunseling bermaksud guru
bimbingan dan kaunseling menyelami permasalahan klien dan menempatkan dirinya
dalam situasi klien. Komponen ini penting bagi memudahkan guru bimbingan dan
kaunseling membantu klien menyelesaikan permasalahannya dengan memahami emosi
kliennya. Rogers ( 1961 ) juga menekankan seorang guru bimbingan dan kaunseling
yang berkesan mestilah sikap mesra, menunjukkan keyakinan , dan boleh
dipercayai. Beliau juga berpendapat bahawa guru bimbingan dan kaunseling
haruslah mesra serta peramah agar sesi kaunseling dijalankan dengan berkesan
dan klien mempunyai hubungan yang istimewa dengan guru bimbingan dan kaunseling.
Mesra juga melibatkan tutur kata yang
sopan dan ramah serta air muka yang manis membuat klien rasa dihargai(Mustaffa, 1998).
Seterusnya, guru
super karakter juga dikatakan seorang guru yang berani mengambil risiko. Kerjaya guru merupakan antara kerjaya yang
mempunyai banyak risiko walaupun hanya mengajar di dalam kelas-kelas di
sekolah. Guru yang terbaik adalah guru yang tidak gentar mengambil risiko. Pada
zaman ini, para pelajar sudah tidak lagi sama seperti pelajar yang dahulu.
Mereka merupakan generasi yang pintar dan mampu menguasai teknologi dek kerana
terdedah kepada perkembangan teknologi dunia. Oleh itu, pentingnya guru-guru
untuk mengambil risiko mengubah cara pengajaran mereka seiring dengan zaman. Guru- guru mengambil risiko
dengan mempelbagaikan kaedah pengajaran mereka seperti menggunakan pendekatan
ICT dalam pengajaran dan belajar bersama-sama bukannya mengajar.
Profesion guru
bimbingan dan kaunseling juga penuh dengan cabaran. Oleh itu, guru bimbingan
merupakan individu yang sering mengambil risiko. Mereka sering berdepan dengan
klien-klien yang mereka tidak ketahui latar belakangnya. Tetapi pihak guru
bimbingan dan kaunseling tetap menerima mereka tanpa syarat selaras dengan syarat
menjalankan kaunseling sendiri iaitu penerimaan tanpa syarat. Penerimaan tanpa syarat guru bimbingan dan
kaunseling terhadap klien bermaksud guru bimbingan dan kaunseling menerima diri
klien yang sebenarnya. Guru bimbingan dan kaunseling perlulah melayan klien
sebagai manusia yang bermaruah dan unik walaupun klien datang dengan masalah
yang negatif. Guru bimbingan dan kaunseling tidak boleh memandang serong atau
berfikiran negatif terhadap kliennya. Konsep ini diasaskan oleh Rogers dalam
teorinya iaitu Teori Pemusatan Klien yang menekankan menekankan supaya
kaunselor mempunyai sikap menerima klien tanpa syarat iaitu tanpa menilai
tingkahlaku, peristiwa atau perasaan klien sama ada baik atau jahat.
Di samping itu,
guru super karakter juga merupakan guru yang bertanggungjawab dalam
profesionnya. Guru bertanggungjawab untuk melaksanakan pembinaan kepada diri
siswa baik kepribadian, watak serta jasmaniah. Menyalurkan ilmu pada murid
sebenarnya bukan pekerjaan yang susah. Namun membina murid supaya menjadi
manusia berkarakter pasti bukan pekerjaan yang senang. Seorang guru
bertanggungjawab untuk memberikan bimbingan kepada murid. Bimbingan tersebut
supaya murid boleh mengenal dirinya sendiri, menyelesaikan masalahnya sendiri,
serta mempunyai emosional yang baik. Dalam perkataan lain, guru yang
menjalankan tanggungjawabnya dalam mendidik anak murid bukan sahaja membantu
mereka menyelesaikan soalan-soalan peperiksaan malah membantu untuk
menyelesaikan masalah dalam hidup mereka
dengan mengenali diri mereka sendiri.
Hal
ini sama dengan guru bimbingan dan kaunseling di sekolah. Salah satu peranan
atau tanggungjawab utama guru ini adalah untuk membantu murid mengenali diri
mereka agar mereka dapat menyelesaikan masalah dan menentukan hala tuju hidup
mereka berdasarkan minat dan kecenderungan masing-masing. Memberikan bimbingan
dan pertolongan terhadap orang lain adalah satu amanah yang harus dipikul dengan penuh kesungguhan dan rasa
tanggungjawab oleh guru bimbingan dan kaunseling. Dapat disimpulkan bahawa guru
bimbingan dan kaunseling bertanggungjawab untuk membantu individu malah definasi
kaunseling juga memfokuskan perihal memberi pertolongan kepada klien seperti definasi
yang diberikan oleh Blocher (1974) yang mendefinasikan kaunseling sebagai suatu
proses untuk menolong individu supaya ia menjadi lebih sedar tentang dirinya
dan bagaimana ia dapat bertindak balas dalam alam persekitarannya. Corey (1977)
sepertimana dengan Blocher menekankan tentang proses di mana seorang klien
diberi peluang untuk menerokai aspek diri dan kehidupannya yang menimbulkan
masalah pada dirinya.
Antara
tanggungjawab guru bimbingan dan kaunseling dalam memberi pertolongan ialah seperti
melalui Sesi Kaunseling Individu iaitu sesi yang melibatkan hanya guru
bimbingan dan kaunseling dan klien sahaja. Tujuannya adalah untuk membincangkan
permasalahan individu serta membantu klien mencari jalan untuk menyelesaikan
masalah yang dihadapi oleh klien. Kaunseling individu lebih kepada perkara yang
bersifat peribadi dan kerahsiaan. Oleh itu sebagai guru bimbingan dan
kaunseling adalah menjadi tanggungjawab baginya utnuk menjaga rahsia berkaitan
cerita atau permasalahan klien yang diperbincangkan.
Pentingnya guru
kaunseling yang bertanggungjawab kerana guru tersebut merupakan aset penting ke
arah mencapai matlamat mencapai kesejahteraan diri pelajar selaras dengan Hasil
resolusi Konvensyen Pendidikan Keibubapaan dan Kekeluargaan Peringkat
Kebangsaan ke-2 2004, anjuran (MAPIN) Mimbar Permuafakatan Ibu Bapa Nasional
telah melaporkan “satu daripada kaedah menangani masalah disiplin di kalangan
pelajar sekolah yang kini semakin serius ialah dengan melantik lebih ramai guru
bimbingan dan kaunseling agar jumlahnya sesuai dengan bilangan pelajar” Menurut
laporan tersebut, guru kaunseling sebagai golongan profesional yang dilatih
khas dalam hal membantu manusia bermasalah, adalah bertanggungjawab bukan
sahaja dalam hal memantau disiplin pelajar malah menerangkan halatuju
pendidikan serta peluang-peluang kerjaya pelajar di masa hadapan. Pandangan di
atas menunjukkan pentingnya guru bimbingan dan kaunseling khasnya dalam membina
kecemerlangan pelajar secara holistik.
Selain itu, guru
super karakter juga dikaitkan dengan guru yang berdedikasi dan penuh dengan
komitmen dalam melaksanakan tugasnya sebagai seorang pendidik. Guru berdedikasi
dibezakan oleh komitmen mereka terhadap pencapaian pelajar mereka. Komitmen
adalah satu elemen penting dalam pengajaran yang berjaya. Fried mentakrifkan
guru yang berdedikasi sebagai: "seseorang yang cinta kepada bidang ilmu
sering berasa terganggu oleh isu-isu dan idea yang mengubah dunia kita,
tertarik dengan permasalahan dan potensi anak-anak muda yang datang ke kelas
setiap hari" (2001, p. 44). Guru-guru yang komited mengambil berat
perkembangan pelajar-pelajar mereka dan mereka berjuang bersungguh-sungguh
bagaimana untuk mengekalkan pelajar mereka agar terus belajar. Mereka memupuk
rasa ingin tahu dan minat terhadap pembelajaran pelajar. Menunjukkan komitmen
kepada pembelajaran pelajar boleh menjadi satu faktor penting dalam memotivasi
pelajar. Guru-guru yang komited mengiktiraf dan berusaha untuk memenuhi
tanggungjawab mereka kepada pelajar mereka. Guru-guru yang terlibat dalam
profesion mereka dan komited kepada pelajar serta pembelajaran mereka,
memainkan peranan penting dalam pembangunan pelajar.(Mart, 2013). Dalam perkataan lain, guru
sebegini juga boleh dikatakan guru yang profesional dalam profesionnya.
Guru bimbingan dan
kaunseling juga tergolong dalam golongan guru yang komited dan berdedikasi
dalam menjalankan tugasnya membantu murid di sekolah malah ia merupakan salah
satu daripada tanggungjawab atau prinsip yang harus dipikul oleh guru bimbingan
dan kaunseling iaitu Berkhidmat dengan penuh dedikasi, ikhlas jujur dan cekap.
Guru bimbingan dan kaunseling komited
mengendalikan sesi kaunseling dengan profesional untuk membantu klien
mereka. Walaupun dengan menjalankan sesi kaunseling, mereka memperoleh pelbagai
peluang untuk mengekplotasi klien dengan mengambil kesempatan ke atas mereka,
tetapi guru bimbingan tetap komited merealisasikan tujuan kaunseling dan
membantu menyelesaikan masalah klien mereka. Mereka tidak mengamalkan,
mempersetujui ataupun menggalakkan diskriminasi berasaskan ras, jantina, agama,
status, ideologi, kecacatan fizikal, mental, paras rupa ataupun diskriminasi
dalam apa jua bentuk dan menjelaskan kepada klien berkaitan keperluan, proses,
dan implikasi perkhidmatan kaunseling serta mencapai persetujuan dengan klien
pada peringkat awal sesi berhubung batasan kerahsiaan. Guru bimbingan dan
kaunseling juga tidak digalakkan memberi perkhidmatan kaunseling kepada
saudara-mara atau mereka yang mempunyai hubungan dengan pihak pentadbiran yang
berunsurkan penilaian ke atas prestasinya. Guru bimbingan dan kaunseling
mematuhi garis-garis panduan ini ketika melaksanakan tugas mereka sebagai
pembimbing klien membuat keputusan berkaitan hidupnya.
Tuntasnya,
ciri-ciri guru super karakter seperti yang digariskan dalam ucapan Ketua
Pengarah Pelajaran Malaysia sempena Hari Guru pada tahun 2013 telahpun dimiliki
oleh guru bimbingan dan kaunseling yang merupakan prinsip serta syarat
perkidmatan bimbinga dan kaunseling itu sendiri.
3.0 Kesimpulan
Kesimpulannya, guru merupakan pendidik yang akan mencorakkan
masa depan sesebuah negara dengan membentuk peribadi muridnya dan betapa
pentingnya guru-guru mempunyai super karakter seperti guru yang sayang kepada
muridnya, berani mengambil risiko, bertanggungjawab, berdedikasi serta penuh
dengan komited dalam profesionnya sebagai seorang pendidik. Ciri-ciri guru
super karakter ini juga sangat menyerupai ciri-ciri guru bimbingan dan
kaunseling yang mesra,berempati, menerima tanpa syarat, bertanggungjawab,
berdedikasi dan komited dalam tugasnya membantu klien menyelesaikan masalah
mereka.
Rujukan
Blocher, D. H.
(1974). Developmental counseling. New York: Ronald Press Co.
Careerigniter. (n.d.). What Are The Characteristics Of
An Effective Counselor? – Career Igniter. Dicapai dari
http://www.careerigniter.com/questions/what-are-the-characteristics-of-an-effective-counselor/
Corey, G. (1977). Theory and practice of
counseling and psychotherapy. Monterey, CA: Brooks/Cole Pub. Co.
Dr. Syafrimen. (2010, 11 April). Syafrimen, Ph.D:
Kualiti Profesionalisme Guru-Guru Kaunseling [Web log post]. Dicapai dari
http://syafrimen.blogspot.my/2010/04/kualiti-profesionalisme-guru-guru.html
Fried, R. L.
(1995). The passionate teacher: A practical guide. Boston: Beacon Press.
MakhiI Adnan, & W.Zamilah W.Zin. (2012, April 2).
Nur Kerjaya [Web log post]. Dicapai dari http://binadiribinakerjaya.blogspot.my/2012/04/peranan%ADguru%ADkaunseling%ADdi%ADsekolah.html
Mart, Ç. T. (2013). A Passionate
Teacher : Teacher Commitment and Dedication to Student Learning. International
Journal of Academic Research in Progressive Education and Development, 2(1),
437–442.
Mok, S. S. (1991). Pedagogi 4: Pemulihan,
pengayaan dan isu pendidikan. Kuala Lumpur: Kumpulan Budiman.
Muhamad Sharif b. Mustaffa. (1998).
KAUNSELING ISLAM. Jurnal Pendidikan Universiti Teknologi Malaysia,4(April),
19–30.
Rogers, C. R.
(1961). On Becoming a Person: A Therapist's View of Psychotherapy.
0 comments:
Post a Comment