Saturday, 20 February 2016

Konsep Morfologi dan Pendapat pengkaji bidang Morfologi

1.0       Pendahuluan

Bahasa Melayu ialah sejenis bahasa Melayu-Polinesia di bawah keluarga bahasa Austronesia yang telah digunakan di wilayah Malaysia, Indonesia, dan persekitarannya sejak melebihi 1,000 tahun lalu dan penutur asli Bahasa Melayu  merupakan orang melayu. Asal usul bangsa Melayu sehingga kini masih kabur tetapi beberapa sarjana Eropah seperti Hendrik Kern (Belanda) dan Robert von Heine Geldern (Austria) telah melakukan penyelidikan secara kasar tentang latar belakang dan pergerakan masyarakat Melayu kuno.

Teori mereka mengatakan bahawa bangsa Melayu berasal daripada kelompok Austronesia, iaitu kelompok manusia yang berasal dari daerah Yunan di China yang kemudiannya berhijrah dalam bentuk beberapa gelombang pergerakan manusia dan akhirnya menduduki wilayah Asia Tenggara. Gelombang penghijrahan yang pertama dikenali sebagai Melayu-Proto dan berlaku kira-kira 2500 tahun Sebelum Masehi. Melayu-Proto ini merupakan orang asli di Malaysia yang terdiri daripada beberapa suku kaum seperti Jakun, Semelai, Temuan dan sebagainya.

Kira-kira tahun 1500 tahun Sebelum Masehi, datang pula gelombang kedua yang dikenali sebagai Melayu-Deutro. Mereka mendiami daerah-daerah yang subur di pinggir pantai dan tanah lembah Asia Tenggara. Oleh itu, golongan Melayu-Deutro mempunyai kemahiran belayar.

      Kehadiran mereka ini menyebabkan orang-orang Melayu-Proto seperti orang-orang Jakun, Mahmeri, Jahut, Temuan, Biduanda dan beberapa kelompok kecil yang lain berpindah ke kawasan hutan dan pedalaman. Golongan Melayu-Deutro ini dikatakan nenek moyang masyarakat Melayu yang ada pada masa kini.

Kedatangan agama Hindu, Islam dan penjajah Eropah ke Asia Tenggara telah menyebabkan perbezaan yang ketara berlaku antara bahasa Melayu Kuno, bahasa Melayu Klasik dan Bahasa Melayu Moden dan sekaligus menyumbang kepada perkembangan Bahasa Melayu. Ahli bahasa membahagikan perkembangan bahasa Melayu kepada tiga tahap utama iaitu Bhasa Melayu Kuno, Bahasa Melayu Klasik dan Bahasa Melayu Moden. Setiap tahap bahasa ini juga  mempunyai sifatnya yang tersendiri.

Tahap perkembangan yang pertama dikenali sebagai Bahasa Melayu Kuno yang mencapai kegemilangannya dari abad ke-7 hingga abad ke-13 pada zaman kerajaan Sriwijaya sebagai lingua franca dan bahasa pentadbiran. Bahasa Melayu pada tahap ini  mempunyai pengaruh Sanskrit dan Hindu yang kuat. Ini adalah kerana kebanyakan masyarakat Melayu ketika itu beragama Hindu dan Bahasa Sanskrit telah menjadi bahasa bangsawan dan mempunyai hierarki yang tinggi. Selain itu, sifat bahasa Melayu yang mudah dilentur mengikut keadaan juga antara penyebab bahasa asing seperti sanskrit diterima.Pengaruh  aksara Pallava  dan Devanagari, kata-kata pinjaman daripada bahasa Sanskrit, rangkai-rangkai kata pinjaman daripada bahasa Sanskrit, dan fonem-fonem Sanskrit dapat dikesan pada Bahasa Melayu Kuno.

Fasa peralihan Bahasa Melayu Kuno kepada Bahasa Melayu Klasik berlaku pada abad ke-13 yang dikaitkan dengan kedatangan Islam dari Tanah Arab ke Asia Tenggara. Zaman kegemilangan Bahasa Melayu Klasik bermula apabila pemimpin kerajaan kerajaan Melayu pada waktu itu  memeluk Islam dan mempelajari bahasa Arab daripada pedagang Islam daripada Arab dan India. Ini menyebabkan Bahasa Melayu dipengaruhi dan berlaku penyerapan unsur unsur Arab dan Parsi dalam bahasa Melayu.

Bermula  abad ke-19, Asia Tenggara telah mengalami penjajahan  bangsa Eropah seperti Portugis, Belanda dan Inggeris. Sebelum penjajahan British, bahasa Melayu mencapai kedudukan yang tinggi, berfungsi sebagai bahasa perantaraan, pentadbiran, kesusasteraan, dan bahasa pengantar di pusat pendidikan Islam. Selepas Perang Dunia Kedua, British merubah dasar menjadikan bahasa Inggeris sebagai pengantar dalam sistem pendidikan. Bahasa Melayu Moden ini banyak dipengaruhi oleh penjajah Barat terutama sekali Inggeris. Permulaan fasa ini dianggap berasal dari hasil karangan Munsyi Abdullah. Semasa Malaysia mencapai kemerdekaan,

Perlembagaan Persekutuan Perkara 152 menetapkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Selain itu, Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967 menetapkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara. Laporan Razak 1956 mencadangkan bahasa Melayu sebagai pengantar dalam sistem pendidikan negara. Akta-akta inilah yang memelihara kedudukan  Bahasa Melayu hingga sekarang.

         Bahasa Melayu yang kita pelajari hari ini telah mengalami pelbagai perubahan yang drastik sepanjang zaman perkembangannya. Akibat daripada perkembangan sistem Bahasa Melayu , terdapat beberapa bidang yang diwujudkan bagi menambah baikkan lagi sistem Bahasa Melayu  seperti bidang Morfologi .  

  
2.0       Konsep Morfologi

2.1       Pengenalan

Dalam pengajian Pengantar Bahasa Melayu, terdapat bidang yang penting yang perlu pelajar pelajari untuk menguasai Bahasa Melayu iaitu bidang Morfologi. Definisi Morfologi mengikut Kamus Dewan edisi ketiga menjelaskan pengertian morfologi sebagai kajian tentang pembentukan kata dalam sesuatu bahasa, termasuk infleksi, terbitan, dan pemajmukan.  Morfologi juga dikaitkan dengan kajian tentang struktur dan bentuk sesuatu.

Berdasarkan takrif, kajian morfologi tertumpu kepada kata. Kata terbentuk daripada unsur yang dikenali sebagai morfem. Morfem ialah unit yang terkecil dalam bahasa yang berfungsi gramatis atau yang menjalankan tugas nahu, serta tidak dapat dipecah-pecahkan lagi. Ada dua jenis morfem, iaitu morfem bebas serta morfem terikat. Morfem bebas ialah morfem atau kata yang dapat berdiri sendiri sebagai satu kata yang utuh dan bermakna serta tidak dapat dipecahkan kepada unit yang lebih kecil lagi. Morfem terikat sebaliknya kerana bersifat tidak sempurna sekiranya tidak digandingkan dengan morfem bebas. Sesuatu perkataan dibentuk daripada satu morfem atau lebih.

2.2       Konsep Morfologi berdasarkan maklumat daripada pelbagai sumber

Menurut Abdullah Hassan (2006) morfologi merupakan satu bidang ilmu yang mengkaji bentuk perkataan. Istilah ini dipinjam daripada biologi yang bermaksud kajian tentang bentuk tubuh haiwan dan tumbuhan. Konsep bentuk ini diterapkankepada bentuk perkataan bahasa manusia.
  
          Nik Safiah Karim (1996) pula mentakrifkan morfologi sebagai satu bidang ilmu yang mengkaji bentuk perkataan, struktur kata dan penggolongan kata. Dengan struktur kata dimaksudkan susunan bentuk bunyi ujaran atau lambang (tulisan) yang menjadi unit tatabahasa yang bermakna. Bentuk kata pula ialah rupa unit tatabahasa,sama ada bentuk tunggal atau hasil daripada proses pengimbuhan,pemajmukan dan penggandaan. Penggolongan kata ialah proses menjeniskan perkataan  berdasarkan keserupaan bentuk dan fungsi dengan anggota lain dalam kumpulan yang sama. Dalam perkataan lain, morfologi bahasa Melayu bermaksud bidang yang mengkaji struktur, bentuk dan penggolongan kata dalam bahasa Melayu.
        
          Raminah Hj. Sabran dan Rahim Syam (1985) menginterpretasikan konsep morfologi sebagai  satu bidang dalam kajian bahasa yang mengkaji tentang perkataan dan cara-cara pembentukkannya. Unit-unit  tatabahasa yang menjadi unsur perkataan disebut morfem. Morfem ialah unit yang terkecil dalam bahasa yang berfungsi gramatis atau yang menjalankan tugas nahu. Perkataan ialah bentuk bahasa yang terkecil juga tetapi mengandungi makna yang lengkap dan dapat berdiri sendiri.
        
        Manakala Siti Hajar Hj.Husin Abdul Aziz, dalam bukunya Tatabahasa Bahasa Melayu ( Perkataan ), 1996 : 17 telah menyatakan teori morfologi iaitu morfologi  satu cabang daripada ilmu linguistik  yang mengkaji soal – soal yang berkaitan dengan kemungkinan adanya perubahan kata, golongan kata, dan makna kata akibat daripada perubahan bentuk kata. Morfologi mengkaji selok –belok bentuk kata dan fungsi gramatik atau semantik perubahan kata itu.Beliau juga telah merumuskan bahawa morfologi  adalah bidang mengkaji bagaimana morfem – morfem itu bergabung untuk membentuk ayat.
            
          Menurut Kamarudin Hj.Husin dan Siti Hajar Hj. Abdul Aziz.; Arb'ie Sujuddalam buku Pengajian Melayu 1, Ilmu Bahasa dan Kecekapan Berbahasa,1997 : 83, kumpulan  budiman berpendapat morfologi ialah disiplin ilmu bahasa yang mengkaji struktur, bentuk dan penggolongan kata.Bentuk kata ini merujuk bentuk bunyi atau ujaran sesuatu kata itu.

Selain itu, ahli bahasa juga iaitu  Leonard Bloomfield  dalam bukunya Language yang telah diterjemahkan oleh Alias Mahpol, Kamaruzaman Mahayiddin dan Noor Ein Mohd.Noor,menyatakan bahawa “Morfologi adalah konstruksi yang mengandungi bentuk – bentuk terikat antara konsituen – konsituennya.”“Morfologi meliputi konstruksi kata – kata dan bahagian kata”.

Seterusnya, Frank Parker dalam bukunya, Linguistics For Non-Linguists, First Edition yang diterjemah oleh Raja Rahawani Raja Mamat, berpendapat bahawa morfologi merupakan suatu bidang pengkajian yang mengkaji pembentukan kata. Beliau menyatakan “morphology” itu berasal daripada bahasa Latin “morphe” yang membawa maksud bentuk. Abdullah Hassan dalam buku: 117). Dapatlah disimpulkan di sini bahawa ilmu morfologi ini merupakan salah satu bidang linguistik.

 Linguistik Am Siri Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu (Abdullah Hassan, 2007) pula mentakrifkan morfologi sebagai bidang linguistik yang mengkaji bagaimana perkataan dibina, iaitu kajian ini dilakukan terhadap unsur-unsur yang membentuk perkataan, proses-proses membentuk perkataan dan bentuk-bentuk perkataan yang dihasilkan yang mengkaji struktur binaan kata, bentuk kata dan golongan kata. Dalam bidang ini, morfem dan kata ialah unsur utama yang dikaji dalam proses pembentukan kata.

            Morfologi menurut buku Tatabahasa Dewan (2004) ialah bidang ilmu bahasa yang mengkaji struktur, bentuk dan penggolongan kata. Dengan struktur kata dimaksudkan susunan bentuk bunyi ujaran atau lambang (tulisan) yang menjadi unit bahasa yang bermakna. Bentuk kata pula ialah rupa unit tatabahasa (morfem), sama ada berbentuk tunggal atau hasil daripada proses pengimbuhan, pemajmukan dan penggandaan. Penggolongan kata ialah proses menjeniskan perkataan berdasarkan keserupaan bentuk dan/atau fungsi dengan anggota lain dalam golongan yang sama.
  
           Kesimpulannya,konsep morfologi menurut secara ringkasnya  ialah kajian tentang proses pembentukan kata yang akan melalui proses penyusunan morfem atau unit-unit tatabahasa yang menjadi unsur perkataan dari segi struktur, bentuk dan penggolongan kata sebagai prosesnya. 


2.3     Kesimpulan

Morfologi mempunyai sistem dan peraturannya yang tersendiri serta unik dalam penstrukturan ayat berasaskan proses pembentukan kata iatu pengimbuhan, pemajmukan, penggandaan dan pengakroniman serta proses penggolongan kata yang terdiri daripada kata nama, kata kerja, kata adjektif dan kata tugas. Kesemua aspek ini memainkan peranan yang penting dalam pembentukan ayat yang gramatis. Selain dapat memastikan penggunaan bahasa yang lebih berkesan dan cekap, bidang morfologi ini merupakan tunjang utama dalam kajian linguistik.


Tanpa pengetahuan tentang morfologi, sukar untuk menghuraikan bahasa dengan mendalam dan terperinci terutama jika ingin menghuraikan dan menyelesaikan permasalahan mengenai Bahasa Melayu. Oleh itu, amat penting untuk kita mempelajari morfologi sesuatu bahasa supaya kita dapat mendalami dan mencintai sesuatu bahasa. 

Kerja Kursus Bimbingan Dan Kaunseling saya tahun 2015

1.0       Pengenalan

Guru bermaksud pengajar, pendidik atau pengasuh. Seorang guru ialah merupakan pembimbing dalam proses pembelajaran. Menurut Mok Soon Sang (1991) pula, guru merupakan seorang ahli masyarakat yang mempunyai perhubungan sosial yang saling berkait rapat dengan masyarakat berstatus. Guru merupakan tenaga ikhtisas di dalam bidang perguruan yang dipertanggungjawab untuk mendidik pelajar di sekolah. Guru juga sebagai anggota masyarakat, harus pandai bergaul dengan masyarakat.

Peranan dan tanggungjawab guru sememangnya memberi impak yang besar dan mendalam dalam diri setiap individu itu. Dari kecil hinggalah menjawat jawatan yang hebat, semua itu adalah hasil ajaran dan didikan guru di sekolah, pun begitu, dunia hari ini semakin maju dan bergerak pantas seiring dengan era ledakan maklumat ini, guru tidak terkecuali merasai tempiasnya. Peranan dan tanggungjawab yang digalas oleh guru semakin mencabar. Oleh itu pentingnya guru mempunyai super karakter seperti yang diketengahkan dalam ucapan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia sempena Hari Guru pada tahun 2013. Antara ciri guru super karakter yang diketengahkan ialah guru yang sayang kepada muridnya, berani mengambil risiko, bertanggungjawab, berdedikasi dan penuh dengan komitmennya dalam melaksanakan tugasnya sebagai pendidik.

Jika diamati ciri guru super karakter tersebut, kita akan dapati terdapatnya persamaan ataupun kaitan dengan ciri-ciri guru bimbingan dan kaunseling yang merupakan guru yang dilantik sebagai guru bimbingan dan kaunseling di sekolah yang bertanggungjawab menjalankan aktiviti-aktiviti kaunseling. Guru bimbingan dan kaunseling merupakan penjana peribadi ke arah melahirkan generasi remaja yang berkualiti seiring dengan hasrat negara untuk melahirkan generasi berpersonaliti yang menjadi fokus utama agenda pembangunan masyarakat dewasa ini.


2.0       Ciri-ciri seorang guru bimbingan dan kaunseling yang mencapai tahap “guru super karakter” .

Guru bimbingan dan kaunseling di sekolah memiliki ciri - ciri umum seperti yang digariskan oleh The Association of Counselor Education and pada tahun 1964, telah mengenal pasti bahawa guru bimbingan dan kaunseling perlulah mempunyai enam kualiti asas iaitu kepercayaan kepada setiap individu, komitmen kepada nilai kemanusiaan, memahami diri sendiri, sikap terbuka dan taat setia kepada professional. Kuliti-kualiti asas ini sedikit sebanyak  menggambarkan ciri guru super karakter.

            Ciri pertama guru super karakter merupakan guru yang sayang akan muridnya. Dalam kehidupan di persekitaran sekolah, guru merupakan ibu bapa bagi murid yang menjaga dan menyayangi anaknya. Penyayang  membawa  maksud  perbuatan  atau  perlakuan  menyayangi,  mengasihi,    dan  bersifat  belas  kasihan  serta  menghormati  orang  lain.  Ini  bermakna guru penyayang adalah seorang yang memiliki sifat kepedulian (concern) terhadap setiap perkara yang berkaitan  dengan  muridnya (every  child  matters) dengan  cara  mengamalkan  nilai  kasih sayang, bersikap mesra,  mengambil berat, berbudi bahasa, saling menghormati, sentiasa ceria, prihatin dan sabar. Guru  penyayang menjiwai  bahawa  murid mereka merupakan  aset  penting yang  perlu diberi perhatian, dijaga, dibimbing, dihargai kewujudannya dan  disayangi setiap masa. Membudayakan   amalan   penyayang   merupakan sifat  profesional guru dalam perhubungannya dengan murid, ibu bapa, komuniti dan masyarakat. Begitu juga dengan guru bimbingan dan kaunseling, yang merupakan guru yang mesra dan mengambil berat. Malah komponen ini merupakan komponen yang paling penting sebagai guru bimbingan.
           
       Sifat mesra seorang guru bimbingan dan kaunseling membolehkan klien tidak malu untuk bersuara, berasa selesa dan rasa diterima oleh guru bimbingan dan kaunseling. Sifat mesra yang ditunjukkan oleh guru bimbingan dan kaunseling memudahkan klien untuk meluahkan masalah yang dihadapi oleh klien. Selain itu, kasih sayang juga dapat dikaitkan dengan perasaan mengambil berat dan sifat ini saling berkait dengan sifat empati yang dimiliki oleh guru bimbingan dan kaunseling. Empati dalam bidang bimbingan dan kaunseling bermaksud guru bimbingan dan kaunseling menyelami permasalahan klien dan menempatkan dirinya dalam situasi klien. Komponen ini penting bagi memudahkan guru bimbingan dan kaunseling membantu klien menyelesaikan permasalahannya dengan memahami emosi kliennya. Rogers ( 1961 ) juga menekankan seorang guru bimbingan dan kaunseling yang berkesan mestilah sikap mesra, menunjukkan keyakinan , dan boleh dipercayai. Beliau juga berpendapat bahawa guru bimbingan dan kaunseling haruslah mesra serta peramah agar sesi kaunseling dijalankan dengan berkesan dan klien mempunyai hubungan yang istimewa dengan guru bimbingan dan kaunseling.  Mesra juga melibatkan tutur kata yang sopan dan ramah serta air muka yang manis membuat klien rasa dihargai(Mustaffa, 1998).

Seterusnya, guru super karakter juga dikatakan seorang guru yang berani mengambil risiko.  Kerjaya guru merupakan antara kerjaya yang mempunyai banyak risiko walaupun hanya mengajar di dalam kelas-kelas di sekolah. Guru yang terbaik adalah guru yang tidak gentar mengambil risiko. Pada zaman ini, para pelajar sudah tidak lagi sama seperti pelajar yang dahulu. Mereka merupakan generasi yang pintar dan mampu menguasai teknologi dek kerana terdedah kepada perkembangan teknologi dunia. Oleh itu, pentingnya guru-guru untuk mengambil risiko mengubah cara pengajaran mereka seiring  dengan zaman. Guru- guru mengambil risiko dengan mempelbagaikan kaedah pengajaran mereka seperti menggunakan pendekatan ICT dalam pengajaran dan belajar bersama-sama  bukannya mengajar.

Profesion guru bimbingan dan kaunseling juga penuh dengan cabaran. Oleh itu, guru bimbingan merupakan individu yang sering mengambil risiko. Mereka sering berdepan dengan klien-klien yang mereka tidak ketahui latar belakangnya. Tetapi pihak guru bimbingan dan kaunseling tetap menerima mereka tanpa syarat selaras dengan syarat menjalankan kaunseling sendiri iaitu penerimaan tanpa syarat. Penerimaan tanpa syarat guru bimbingan dan kaunseling terhadap klien bermaksud guru bimbingan dan kaunseling menerima diri klien yang sebenarnya. Guru bimbingan dan kaunseling perlulah melayan klien sebagai manusia yang bermaruah dan unik walaupun klien datang dengan masalah yang negatif. Guru bimbingan dan kaunseling tidak boleh memandang serong atau berfikiran negatif terhadap kliennya. Konsep ini diasaskan oleh Rogers dalam teorinya iaitu Teori Pemusatan Klien yang menekankan menekankan supaya kaunselor mempunyai sikap menerima klien tanpa syarat iaitu tanpa menilai tingkahlaku, peristiwa atau perasaan klien sama ada baik atau jahat.

Di samping itu, guru super karakter juga merupakan guru yang bertanggungjawab dalam profesionnya. Guru bertanggungjawab untuk melaksanakan pembinaan kepada diri siswa baik kepribadian, watak serta jasmaniah. Menyalurkan ilmu pada murid sebenarnya bukan pekerjaan yang susah. Namun membina murid supaya menjadi manusia berkarakter pasti bukan pekerjaan yang senang. Seorang guru bertanggungjawab untuk memberikan bimbingan kepada murid. Bimbingan tersebut supaya murid boleh mengenal dirinya sendiri, menyelesaikan masalahnya sendiri, serta mempunyai emosional yang baik. Dalam perkataan lain, guru yang menjalankan tanggungjawabnya dalam mendidik anak murid bukan sahaja membantu mereka menyelesaikan soalan-soalan peperiksaan malah membantu untuk menyelesaikan masalah dalam hidup  mereka dengan mengenali diri mereka sendiri.
        
    Hal ini sama dengan guru bimbingan dan kaunseling di sekolah. Salah satu peranan atau tanggungjawab utama guru ini adalah untuk membantu murid mengenali diri mereka agar mereka dapat menyelesaikan masalah dan menentukan hala tuju hidup mereka berdasarkan minat dan kecenderungan masing-masing. Memberikan bimbingan dan pertolongan terhadap orang lain adalah satu amanah yang  harus dipikul dengan penuh kesungguhan dan rasa tanggungjawab oleh guru bimbingan dan kaunseling. Dapat disimpulkan bahawa guru bimbingan dan kaunseling bertanggungjawab untuk membantu individu malah definasi kaunseling juga memfokuskan perihal memberi pertolongan kepada klien seperti definasi yang diberikan oleh Blocher (1974) yang mendefinasikan kaunseling sebagai suatu proses untuk menolong individu supaya ia menjadi lebih sedar tentang dirinya dan bagaimana ia dapat bertindak balas dalam alam persekitarannya. Corey (1977) sepertimana dengan Blocher menekankan tentang proses di mana seorang klien diberi peluang untuk menerokai aspek diri dan kehidupannya yang menimbulkan masalah pada dirinya.

          Antara tanggungjawab guru bimbingan dan kaunseling dalam memberi pertolongan ialah seperti melalui Sesi Kaunseling Individu iaitu sesi yang melibatkan hanya guru bimbingan dan kaunseling dan klien sahaja. Tujuannya adalah untuk membincangkan permasalahan individu serta membantu klien mencari jalan untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh klien. Kaunseling individu lebih kepada perkara yang bersifat peribadi dan kerahsiaan. Oleh itu sebagai guru bimbingan dan kaunseling adalah menjadi tanggungjawab baginya utnuk menjaga rahsia berkaitan cerita atau permasalahan klien yang diperbincangkan.

Pentingnya guru kaunseling yang bertanggungjawab kerana guru tersebut merupakan aset penting ke arah mencapai matlamat mencapai kesejahteraan diri pelajar selaras dengan Hasil resolusi Konvensyen Pendidikan Keibubapaan dan Kekeluargaan Peringkat Kebangsaan ke-2 2004, anjuran (MAPIN) Mimbar Permuafakatan Ibu Bapa Nasional telah melaporkan “satu daripada kaedah menangani masalah disiplin di kalangan pelajar sekolah yang kini semakin serius ialah dengan melantik lebih ramai guru bimbingan dan kaunseling agar jumlahnya sesuai dengan bilangan pelajar” Menurut laporan tersebut, guru kaunseling sebagai golongan profesional yang dilatih khas dalam hal membantu manusia bermasalah, adalah bertanggungjawab bukan sahaja dalam hal memantau disiplin pelajar malah menerangkan halatuju pendidikan serta peluang-peluang kerjaya pelajar di masa hadapan. Pandangan di atas menunjukkan pentingnya guru bimbingan dan kaunseling khasnya dalam membina kecemerlangan pelajar secara holistik.

Selain itu, guru super karakter juga dikaitkan dengan guru yang berdedikasi dan penuh dengan komitmen dalam melaksanakan tugasnya sebagai seorang pendidik. Guru berdedikasi dibezakan oleh komitmen mereka terhadap pencapaian pelajar mereka. Komitmen adalah satu elemen penting dalam pengajaran yang berjaya. Fried mentakrifkan guru yang berdedikasi sebagai: "seseorang yang cinta kepada bidang ilmu sering berasa terganggu oleh isu-isu dan idea yang mengubah dunia kita, tertarik dengan permasalahan dan potensi anak-anak muda yang datang ke kelas setiap hari" (2001, p. 44). Guru-guru yang komited mengambil berat perkembangan pelajar-pelajar mereka dan mereka berjuang bersungguh-sungguh bagaimana untuk mengekalkan pelajar mereka agar terus belajar. Mereka memupuk rasa ingin tahu dan minat terhadap pembelajaran pelajar. Menunjukkan komitmen kepada pembelajaran pelajar boleh menjadi satu faktor penting dalam memotivasi pelajar. Guru-guru yang komited mengiktiraf dan berusaha untuk memenuhi tanggungjawab mereka kepada pelajar mereka. Guru-guru yang terlibat dalam profesion mereka dan komited kepada pelajar serta pembelajaran mereka, memainkan peranan penting dalam pembangunan pelajar.(Mart, 2013). Dalam perkataan lain, guru sebegini juga boleh dikatakan guru yang profesional dalam profesionnya.

Guru bimbingan dan kaunseling juga tergolong dalam golongan guru yang komited dan berdedikasi dalam menjalankan tugasnya membantu murid di sekolah malah ia merupakan salah satu daripada tanggungjawab atau prinsip yang harus dipikul oleh guru bimbingan dan kaunseling iaitu Berkhidmat dengan penuh dedikasi, ikhlas jujur dan cekap. Guru bimbingan dan kaunseling komited  mengendalikan sesi kaunseling dengan profesional untuk membantu klien mereka. Walaupun dengan menjalankan sesi kaunseling, mereka memperoleh pelbagai peluang untuk mengekplotasi klien dengan mengambil kesempatan ke atas mereka, tetapi guru bimbingan tetap komited merealisasikan tujuan kaunseling dan membantu menyelesaikan masalah klien mereka. Mereka tidak mengamalkan, mempersetujui ataupun menggalakkan diskriminasi berasaskan ras, jantina, agama, status, ideologi, kecacatan fizikal, mental, paras rupa ataupun diskriminasi dalam apa jua bentuk dan menjelaskan kepada klien berkaitan keperluan, proses, dan implikasi perkhidmatan kaunseling serta mencapai persetujuan dengan klien pada peringkat awal sesi berhubung batasan kerahsiaan. Guru bimbingan dan kaunseling juga tidak digalakkan memberi perkhidmatan kaunseling kepada saudara-mara atau mereka yang mempunyai hubungan dengan pihak pentadbiran yang berunsurkan penilaian ke atas prestasinya. Guru bimbingan dan kaunseling mematuhi garis-garis panduan ini ketika melaksanakan tugas mereka sebagai pembimbing klien membuat keputusan berkaitan hidupnya.

Tuntasnya, ciri-ciri guru super karakter seperti yang digariskan dalam ucapan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia sempena Hari Guru pada tahun 2013 telahpun dimiliki oleh guru bimbingan dan kaunseling yang merupakan prinsip serta syarat perkidmatan bimbinga dan kaunseling itu sendiri.

3.0       Kesimpulan
          
Kesimpulannya,  guru merupakan pendidik yang akan mencorakkan masa depan sesebuah negara dengan membentuk peribadi muridnya dan betapa pentingnya guru-guru mempunyai super karakter seperti guru yang sayang kepada muridnya, berani mengambil risiko, bertanggungjawab, berdedikasi serta penuh dengan komited dalam profesionnya sebagai seorang pendidik. Ciri-ciri guru super karakter ini juga sangat menyerupai ciri-ciri guru bimbingan dan kaunseling yang mesra,berempati, menerima tanpa syarat, bertanggungjawab, berdedikasi dan komited dalam tugasnya membantu klien menyelesaikan masalah mereka.





           
           
           




Rujukan

Blocher, D. H. (1974). Developmental counseling. New York: Ronald Press Co.

Careerigniter. (n.d.). What Are The Characteristics Of An Effective Counselor? – Career Igniter. Dicapai dari http://www.careerigniter.com/questions/what-are-the-characteristics-of-an-effective-counselor/

Corey, G. (1977). Theory and practice of counseling and psychotherapy. Monterey, CA: Brooks/Cole Pub. Co.

Dr. Syafrimen. (2010, 11 April). Syafrimen, Ph.D: Kualiti Profesionalisme Guru-Guru Kaunseling [Web log post]. Dicapai dari http://syafrimen.blogspot.my/2010/04/kualiti-profesionalisme-guru-guru.html

Fried, R. L. (1995). The passionate teacher: A practical guide. Boston: Beacon Press.

MakhiI Adnan, & W.Zamilah W.Zin. (2012, April 2). Nur Kerjaya [Web log post]. Dicapai dari  http://binadiribinakerjaya.blogspot.my/2012/04/peranan%ADguru%ADkaunseling%ADdi%ADsekolah.html

Mart, Ç. T. (2013). A Passionate Teacher : Teacher Commitment and Dedication to Student Learning. International Journal of Academic Research in Progressive Education and Development, 2(1), 437–442.

Mok, S. S. (1991). Pedagogi 4: Pemulihan, pengayaan dan isu pendidikan. Kuala Lumpur: Kumpulan Budiman.

Muhamad Sharif b. Mustaffa. (1998). KAUNSELING ISLAM. Jurnal Pendidikan Universiti Teknologi Malaysia,4(April), 19–30.
Rogers, C. R. (1961). On Becoming a Person: A Therapist's View of Psychotherapy

Monday, 19 October 2015

Teori Rational Emotive Behaviour Therapy oleh Albert Ellis



Teori Rational Emotive Behaviour Therapy oleh Albert Ellis
 

 

 Latar belakang tokoh

Albert Ellis lahir di Pittsburg , Pensylvania tahun 1913. Sebagai seorang pakar psikologi klinikal , ia memulakan kerjayanya di bidang kaunseling perkahwinan , keluarga dan seks . Kaunseling REBT berpunca daripada rasa tidak puas hati Ellis terhadap amalan kaunseling tradisional yang dinilai kurang berkesan , khususnya teori psikoanalitik klasik yang pernah ditekuninya . Berdasarkan kepada penemuan - penemuan eksperiman dan klinisnya , Ellis memperkenalkan pendekatan baru yang lebih praktikal iaitu kaunseling REBT . Teori ini menjadi popular bertepatan dengan penghasilan buku perdananya " Reason And Emotion In Psychotheraphy " pada 1962 . 

Teori yang dikemukan oleh Albert Ellis

Menurut Albert Ellis, manusia pada dasarnya adalah unik yang memiliki kecenderungan untuk berfikir rasional dan tidak rasional. Ketika berfikir dan bertingkahlaku rasional manusia akan efektif, bahagia, dan berfungsi. Ketika berfikir dan bertingkahlaku tidak rasional, individu itu menjadi tidak efektif. Reaksi emosional seseorang sebagian besar disebabkan oleh penilaian serta interpretasi yang disedari mahupun tidak disedari. Dorongan emosi tersebut merupakan akibat dari cara berfikir yang tidak logik dan tidak rasional, yang mana emosi yang memasuki individu dalam proses berfikir penuh dengan prasangka, sangat personal, dan tidak rasional.
Berfikir secara tidak rasional ini bermula dengan pembelajaran secara tidak logik yang biasanya diperolehi dari orang tua dan budaya tempat individu tersebut dibesarkan. Berfikir secara tidak rasional akan tercermin dari kata-kata yang digunakan. Percakapan  yang tidak logik menunjukkan cara berfikir yang salah dan kata-kata yang logik menunjukkan cara berfikir yang tepat . Perasaan dan fikiran negatif serta penolakan diri harus dilawan dengan cara berfikir yang rasional dan logik, yang dapat diterima menurut akal yang sihat, serta menggunakan cara verbalisasi yang rasional.
Pandangan pendekatan rasional emotif tentang kepribadian dapat dikaji dari konsep kunci teori Albert Ellis  yang mempunyai  beberapa unsur yang membangunkan tingkah laku individu, iaitu Antecedent event (A), Belief (B),  Emotional consequence (C). Antecedent event (A) iaitu peristiwa luar yang dialami atau memapar individu. Peristiwa terdahulu yang berupa fakta, kejadian, tingkah laku, atau sikap orang lain. Contohnya seperti perceraian suatu keluarga, kelulusan bagi siswa dan sebagainya merupakan antecendent event bagi seseorang.
 Belief (B) yaitu pemikiran, pandangan, nilai, atau verbalisasi diri individu terhadap suatu peristiwa. Pemikiran  seseorang ada dua jenis, iaitu pemikiran yang rasional (rational belief atau rB) dan pemikiran yang tidak rasional (irrasional belief atau iB). Pemikiran yang rasional merupakan cara berfikir atau sistem kepercayaan  yang tepat, masuk akal, bijaksana, dan kerana itu ia menjadi produktif. Pemikiran yang tidak rasional merupakan kepercayaan  atau sistem berfikir seseorang yang salah, tidak masuk akal, emosional, dan oleh kerana itu ia tidak produktif.
 Emotional consequence (C) merupakan kesan kepada sikap emosional sebagai akibat atau reaksi individu dalam bentuk perasaan senang atau dorongan emosi dalam hubungannya dengan antecendent event (A). Konsekuensi emosional ini bukan akibat langsung dari A Selain itu, Ellis juga menambahkan D dan E serta F untuk rumus ABC ini. Seorang kaunselor  harus melawan (dispute; D) pemikiran-pemikiran tidak rasional itu agar kliennya boleh menikmati hasil-hasil (effects; E) psikologi yang positif daripada pemikiran-pemikiran  yang rasional dan seterusnya menghasilkan perubahan tingkahlaku (F)